Foto Facebook Changsuek

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan beliau tidak akan membiarkan konsert kumpulan terkenal antarabangsa iaitu Coldplay menganggu aksi pasukan negara.

Malaysia akan turun dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 21 November, sehari sebelum konsert Coldplay yang juga bakal diadakan di gelanggang keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Perkara ini sebenarnya saya telah bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan juga dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi.

“Perkara ini tidak boleh berlaku lagi. Beliau setuju kerana kita telah maklumkan kontrak kita dengan PSM ini.

“Semuanya dalam kalendar FIFA dan juga kalau nak buat apa-apa, perlu maklumkan kepada kita. Jika tidak, lebih baik jangan ada kontrak dengan PSM, lebih baik kita pergi stadium lain,” katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya menjadi mangsa kepada konsert artis antarabangsa apabila sebanyak 21,000 tempat duduk tidak boleh digunakan ekoran konsert penyanyi terkenal dari Taiwan iaitu Jay Chou ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Thailand.

Tambah Hamidin, pihaknya bagaimanapun sudah menemui jalan penyelesaian dengan KBS dan Hannah untuk menilai pendekatan terbaik akan perkara tersebut.

“Saya sudah mendapat penyelesaian dengan Menteri bahawa kita tunggu dan lihat daripada hasil undian Piala Asia 2027 untuk membuat persiapan.

“Kalau perlawanan pada 21 November terjadi dan bermain di sini, jadi kita akan cuba untuk melakukan perbincangan bersama pihak FIFA,” katanya. – MalaysiaGazette