Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Datuk Mahfuz Omar menerima permohonan maaf secara terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berasa syukur atas permohonan maaf Sanusi kerana memfitnah beliau berkaitan tuduhan perpindahan syarikat judi di negeri itu.

“Alhamdulillah, apa yang saya boleh katakan ialah nampaknya Sanusi akur dengan hakikat bahawa beliau telah memfitnah saya. Semoga beliau insaf.

“Mana kan tidak, jika Sanusi merasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu tidak betul, sudah pasti beliau akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Tetapi memandangkan Sanusi tidak teruskan dengan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan, nampaknya Sanusi akur dan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Sanusi telah memfitnah saya,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Sanusi membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berhubung fitnah dilakukannya terhadap beliau, empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi laman Facebooknya hari ini menerusi platform sama digunakannya untuk memuat naik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

“Keputusan mahkamah yang mendapati Sanusi bersalah memfitnah saya membuktikan tidak pudar sensitiviti saya terhadap isu-isu seperti yang didakwa oleh Sanusi dalam fitnahnya terhadap saya. Alhamdulillah.

“Semoga keinsafan Sanusi ini berkekalan dan tidak lagi koyak,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Menurut Sanusi, kenyataan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021.

Pada 3 April lalu, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong turut membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Panel hakim sama menolak rayuan Sanusi untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz selepas membenarkan saman fitnah Mahfuz. – MalaysiaGazette