KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk pencerobohan terbaharu di Masjid Al-Aqsa oleh penduduk Israel kelmarin.
Wisma Putra berkata, pencerobohan yang dirancang terhadap kawasan suci bagi umat Islam itu dan perarakan di Kota Lama Jerusalem memburukkan lagi keadaan.
Katanya, perbuatan itu adalah provokasi dan pencabulan secara terang-terangan terhadap kesucian masjid suci berkenaan.
“Masyarakat antarabangsa mesti membuka mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan dan dasar aparteid yang dilakukan oleh rejim Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
“Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak untuk mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, mengikut sempadan sebelum 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, beribu-ribu pelampau Yahudi melaungkan slogan berunsur perkauman terhadap orang Arab di kawasan yang didiami Palestin di Kota Lama Jerusalem.
Mereka turut menceroboh ke dalam Masjid Al-Aqsa dan halamannya sekali gus mencetuskan ketegangan baharu di wilayah bergolak itu. – MalaysiaGazette
Jerusalem sebijik ibarat tanah rizab Melayu tergadai lurus bendul politikus Pak Pandir ooii!