PEKAN – Proses membimbing dan mentarbiah pengamal tarekat di negeri ini akan diselia Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Jilsah Al-Turuq Al-Sufiyyah dan Pendaftar Tarekat Negeri.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha tersebut diselaraskan selepas kerajaan negeri memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Tarekat baru-baru ini.
”Pelaksanaan RUU terbabit sekali gus akan memberi keupayaan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan berkaitan.
“Seandainya tarekat itu menepati dengan dasar-dasar syarak kita akan membantu untuk didaftarkan supaya mereka berjalan dengan betul,sebab apa benda ini kita buat?
“Sebab adanya mereka yang mengambil kesempatan atas nama tarekat dia bawa ajaran-ajaran yang pelik, mengaku tuhan mengaku nabi mengaku benda yang bukan-bukan yang tak munasabah.
”Ada juga yang mengambil kesempatan daripada sudut mencari pengaruh, untuk mengumpul keuntungan, mengaut kelebihan daripada fungsi tarekat itu sendiri, jadi kerajaan negeri memerhatikan benda ini perlu diklarifikasikan mana yang betul boleh dibenarkan mana yang cuba membawa benda yang tak benar tu kita terpaksa apa ambil penegasanlah melalui RUU ini,” jelasnya.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sejak tahun 2014 sehingga kini, kerajaan negeri telah meluluskan kira-kira 12 RUU berkaitan jenayah syariah, penyebaran ajaran selain islam, pindah agama, wakaf dan pendidikan islam.
Walaupun hanya sebilangan kecil kes ajaran sesat menggunakan nama tarekat dikesan di Pahang namun kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi membendung daripada ia terus merebak dalam masyarakat.
“RUU Tarekat bagi memantau pergerakan ajaran berkenaan selain membendung ajaran sesat yang menggunakan nama tarekat di negeri Pahang. RUU terbabit telah pun dibentang dan diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang pada Jumaat lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: