SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menepis dakwaan beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

Sebaliknya Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu kekal dengan pendirian awalnya sebelum ini untuk berehat sebentar daripada arena politik.

Namun ADUN Gombak itu menyerah kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PN sekiranya ingin mencalonkan nama beliau di mana-mana DUN pada PRN nanti.

“Saya terima banyak permintaan bukan sahaja DUN Morib tetapi beberapa DUN di Selangor. (Sekiranya dicalonkan) saya serah kepada kepimpinan parti.

“Tapi semua sudah maklum saya mahu berehat seketika. Saya telah berkhidmat tujuh penggal DUN, satu penggal di Hulu Klang, tiga penggal di Bukit Antarabangsa dan tiga penggal di Gombak.

“Saya fikir kita patut benarkan generasi muda sebagai pengganti dan kita punya ramai calon berkelayakan dan mereka sangat komited.

“PN adalah parti inklusif dan progresif, parti yang kini ada daya tarikan kuat bukan hanya kepada orang Melayu tapi semua bangsa dan agama. Ia adalah parti yang akan mewakili rakyat Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Dewan Raja Muda Musa di sini malam.

 

Beliau diminta laporan media hari ini yang mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu dijangka berpindah dari Bukit Antarabangsa ke DUN ‘selamat untuk bertanding di PRN Selangor dengan Morib menjadi pilihan utama.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tan Sri Annuar Musa pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional di Kompleks Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2023.

Selain Morib,  partinya iaitu Bersatu dikatakan menimbang sehingga enam pilihan lain termasuk DUN Sijangkang untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu.

Awal Februari lalu, Mohamed Azmin mengumumkan berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Untuk rekod, Mohamed Azmin menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada November tahun lalu, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak selepas tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan (PH) menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 12,729 undi.

Amirudin memperoleh 72,267 undi diikuti Mohamed Azmin dengan 59,538. – MalaysiaGazette