KUALA LUMPUR – Pelakon Esma Daniel selamat bernikah kali ketiga dengan wanita pilihan dikenali Nuratira Mazlan semalam sekali gus menamatkan gelaran duda dipegangnya sejak enam tahun lalu.
Esma, 54, dan Nuratira, 31, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz selepas dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Mazlan Abd Malik di kediaman mereka di Kajang, Selangor.
Pada majlis itu, Esma menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan menghadiahkan tiga dulang hantaran berbalas lima, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Pasangan itu bertunang pada 14 Januari lalu.
Terdahulu, Esma pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Sherie Merlis pada 1992 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada 1997.
Aktor itu kemudiannya berkahwin dengan Nitra Sari Omar pada 2002, namun bercerai pada 2016.
Hasil perkahwinan itu, Esma dan Nitra dikurniakan enam cahaya mata. – MalaysiaGazette