Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pagi ini atas dua pertuduhan kerana dipercayai terlibat dalam kes mengasari dua bayi di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Mutiara Rini, Isnin lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ini atas dua pertuduhan kes mengasari dua bayi di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Mutiara Rini, Isnin lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, kelihatan sugul ketika mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca dihadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 1 petang, Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Syufri A Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

Selain itu, katanya, tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Manakala suaminya yang bekerja di sebuah kilang hanya bergaji RM2,000 sebulan.

Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang mengidap penyakit diabetes dan darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes. – MalaysiaGazette

Wanita dera bayi ditahan