KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan menggubal dasar dan pekeliling baharu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain demi kepentingan Islam di negara ini.
Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, pekeliling atau Garis Panduan Kementerian Dalam Negeri berkaitan Larangan Penggunaan 4 Istilah atau Perkataan (Allah – Kaabah – Solat – Baitullah) bertarikh 5 Disember 1986 (Pekeliling KDN 1986) kini adalah terbatal.
Menurut beliau, situasi itu berlaku apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mac 2021 memutuskan pekeliling tersebut terbatal dan tidak sah dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill.
“Memandangkan Mahkamah Tinggi telah membatalkan Pekeliling KDN 1986 yang merupakan intipati kepada keputusan dasar kerajaan pada 19 Mei 1986 dan dengan tindakan terburu-buru dan secara tersembunyi KDN menarik balik rayuan pada 18 April lalu maka secara efektifnya Kerajaan Madani telah menerima dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Justeru ketika ini, keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan adalah bersifat muktamad kerana tiada rayuan ke mahkamah atasan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama Kristian adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 1986.
Beliau berkata, keputusan yang turut diperkenankan Majlis Raja-Raja itu menetapkan kalimah Allah hanya boleh digunakan dalam kalangan umat Islam dan kitab-kitab agama berkenaan.
Namun beliau memberitahu, pada masa yang sama, kelonggaran diberikan di Sabah dan Sarawak di mana orang bukan Islam di dua negeri berkenaan dibenarkan untuk menggunakan kalimah berkenaan.
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, keputusan kementeriannya menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.
Dalam pada itu, Wan Rohimi menambah, implikasi yang jelas dari penarikan balik rayuan tersebut adalah bahawa Pekeliling KDN 1986 telah tidak wujud dan keputusan dasar Kabinet pada 19 Mei1986 juga secara relatifnya terbatal atau sekurang-kurangnya tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
“Justeru dasar apa yang sedang dipertahankan Perdana Menteri berkaitan isu kalimah Allah? Adakah mempertahankan dasar yang tidak wujud dan telah dibatalkan oleh mahkamah?” soalnya.
Beliau berkata, LUHAM kesal dengan kenyataan Anwar dalam isu kalimah Allah yang kelihatan seolah-olah telah tidak dinasihati dengan sewajarnya oleh penasihat undang-undang yang kompeten. – MalaysiaGazette