Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto FAREEZ FADZIL, 19 November 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin masih tidak pasti sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, ini kerana setiap hari beliau menerima pelbagai nasihat dan pandangan mengenai kariernya dalam politik.

Walaupun kata beliau pernah membuat keputusan lima bulan lalu untuk berehat sebentar dalam politik, muncul keraguan yang menyebabkan dirinya kini berada dalam dilema.

“Tolak bertanding dalam PRN? Sekali lagi saya tidak pasti, hari itu kita pernah bergurau, 90:10, 80:20 (bertanding PRN) dan sebagainya tetapi setiap hari akan ada pandangan dan nasihat yang berbeza-beza yang sampai kepada saya.

“Walaupun saya bekas ahli politik atau yang sedang berehat, politik adalah sebahagian daripada DNA kami dan tidak boleh lari daripada politik.

“Apa pun perancangan sejak lima bulan lepas dan sebagai contoh saya sudah pasang niat keluar dari dunia politik dan fokus dunia urusniaga dan sebagainya, setiap kali saya jumpa orang dan mereka kata KJ patut masuk balik politik cepat.

“Kalau tidak orang lupa, atau tidak ada rakan dalam perjuangan politik. Itu memang ganggu saya yang sudah buat keputusan dan tiba-tiba saya ada keraguan keputusan tersebut,” katanya juga Ketua Pemuda UMNO.

Beliau berkata demikian apabila ditanya  bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan  podcast ‘KeluarSekejap’ di media sosial di sini hari ini.

Foto Instagram Keluar Sekejap.

Jawapan tersebut diberikan ketika mereka membincangkan isu tawaran menyertai Bersatu kepada Khairy.

Baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy jika beliau mahu menyertai parti itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu itu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Pada masa sama, Timbalan Setiausaha AgungPN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa lebih 10 bekas pemimpin UMNO sudah mengisi borang permohonan menyertai PAS termasuk Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette