Keadaan kerosakan bilik darjah akibat kejadian ribut pada 19 Mei lepas di Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sehingga RM1.1 juta bagi membiayai kos pembaikan bangunan yang terjejas dan rosak teruk akibat ribut di sini, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembaikan yang memerlukan peruntukan itu membabitkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Luar Negeri.

“Ada lima unit rumah kuarters di bawah Mindef memerlukan kerja-kerja pembaikan dengan anggaran RM500,000.

“Bagi Kementerian Luar Negeri, melibatkan bangunan Kedutaan Palestin, pokok yang menghempap rumah.

“JKR telah ambil kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang itu dan menjalankan kerja-kerja pembaikan elektrik dengan anggaran kos pembaikan RM600,000,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau kerosakan bilik darjah akibat kejadian ribut pada 19 Mei lepas di Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MEI 2023.

Terdahulu beliau bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau keadaan bangunan kelas yang terjejas akibat ribut di Sekolah Kebangsaan Setapak, di sini.

Selain itu, lima unit rumah setingkat milik KKR turut terjejas dalam kejadian ribut itu, namun pembaikan dilakukan tambah membabitkan peruntukan tambahan.

“KKR sendiri kita ada lima kuarters 200 pekerja kementerian (terjejas) dan mengalami kerosakan dalam ribut tempoh hari.

“Kerja pembaikan telah dilakukan oleh JKR sendiri dengan tidak melibatkan sebarang kos, kita boleh buat sendiri dengan bajet dalaman,” katanya.

Ditanya tentang kerja-kerja membaikpulih 29 sekolah yang mengalami kerosakan itu, beliau menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk melantik kontraktor.

“Ia sepatutnya dibuat secepat mungkin, terpulang kepada Kementerian Pendidikan sama ada kementerian itu minta JKR laksanakan atau mereka juga boleh lantik kontraktor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast