Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain (tengah) menunjukkan barang rampasan selepas sidang media berkenaan kejayaan pembongkaran stor simpanan dadah dan rampasan pil erimin 5 serta pil ekstasi di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan Op Snakewood di sekitar ibu negara dan Selangor pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam sebuah pertama pada jam 8.20 malam Khamis lalu, seorang penjual ikan yang disyaki mengedar dadah diberkas di sebuah kondominium di Selayang, di sini.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada tubuh badan suspek berusia 41 tahun 10 biji pil ekstasi disembunyikan dalam beg silang yang dipakai oleh suspek.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, pasukan narkotik telah melaksanakan serbuan kedua di tempat letak kereta kondominium yang sama sebelum berjaya merampas sejumlah dadah pil ekstasi dan pil Erimin 5 dengan anggaran seberat 20 kilogram yang dijumpai dalam bonet kereta jenis Mercedes Benz milik penjual ikan itu,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media berkenaan kejayaan pembongkaran stor simpanan dadah dan rampasan pil erimin 5 serta pil ekstasi di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 22 MEI 2023.

Tambah beliau, selepas soal siasat lanjut dan berpandukan arah suspek, pasukan sama menjalankan serbuan ketiga ke atas sebuah rumah banglo di Batu Caves, Selangor yang disyaki dijadikan stor untuk menyimpan dadah pil Erimin 5.

Katanya, serbuan tersebut membawa kepada rampasan pil Erimin 5 seberat 57 kilogram dengan jumlah keseluruhan rampasan 77 kilogram dadah bernilai RM3.2 juta.

“Siasatan awal modus operandi kegiatan pengedaran dadah oleh penjual ikan berkenaan adalah dengan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara dan menjadikan kereta mewah dua unit Mercedez Benz serta rumah kediaman sebagai stor simpanan sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang.

“Penjual ikan ini akan menyerahkan dadah yang disimpan di banglo serta Mercedes Benz kepada ‘runner’ atau penghantar untuk diedarkan ke Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut Mohd Shuhaily, suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Amphetamine dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Tambah beliau, polis turut menyita wang tunai suspek sebanyak RM21,000 yang disyaki hasil urusan jual dadah selain kereta Mercedes Benz bernilai RM350,000 dan kereta Perodua Alza bernilai RM40,000.

Shuhaily berkata, kini suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung.

Jatanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 250,000 orang pengguna dadah di Lembah Klang. – MalaysiaGazette