DAP PH Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu memohon maaf daripada Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu jika mahu penyokong bekas perdana menteri itu mengundi mereka pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Penganalisis politik, Lim Sian See berpendapat, tahap sokongan rakyat terhadap Najib adalah lebih tinggi berbanding sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, adalah sukar bagi golongan berkenaan memberi untuk kepada DAP dan PH selagi mereka tidak memohon maaf kepada  bekas Presiden UMNO yang belum dibebaskan dari penjara.

“Penyokong-penyokong tersebut mungkin terpaksa terima Kerajaan Perpaduan enam bulan dahulu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan harapan Najib mendapat keadilan.

“Tetapi selagi harapan ini tidak berhasil maka ia amat sukar bagi mereka untuk undi DAP-PH bagi enam PRN yang akan datang,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin parti akan menyantuni penyokong UMNO untuk meyakinkan mereka mengundi DAP yang bakal bertanding di bawah tiket PH pada PRN kelak.

Sebagai timbal balik, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke  semalam berkata, parti itu juga akan menggesa agar ahlinya mengundi calon UMNO dan BN demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

UMNO yang bertanding di bawah tiket BN dijangka bertanding mempertahankan semua 41 kerusi yang disandangnya di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

DAP pula menyandang 48 kerusi DUN yang disandang di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. – MalaysiaGazette