Kejayaan Polis Daerah Sentul merampas 26 rangka motosikal curi yang dibuang dalam sungai Kampung Mulia Gombak selepas tertangkapnya Geng Ayoi yang aktif dalam jenayah tersebut.

KUALA LUMPUR – Geng Ayoi yang aktif  mencuri motosikal dan melupuskan buktinya dengan membuang rangka 26 motosikal itu dalam sungai berjaya ditumpaskan.

Tiga suspek lelaki termasuk ketua geng berkenaan yang dikenali sebagai Ayoi ditahan secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 24 hingga 32 tahun.

“Daripada tangkapan itu, polis berjaya menemui 26 rangka motosikal dan dua enjin dianggarkan bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

“Suspek dipercayai membuang rangka motosikal ke dalam sungai untuk menghapuskan bukit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, hasil semakan nombor casis berjaya mengenal pasti 10 rangka motosikal yang  dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah ganggu.

Beliau berkata, geng ini menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135 sahaja kerana dipercayai mempunyai permintaan tinggi untuk komponen dan alat gantinya.

Katanya, setelah sesebuah motosikal dikenalpasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key yang diubah suai untuk mencuri motosikal tersebut.

“Kesemua motosikal yang telah dicuri itu komponennya akan dileraikan terlebih dahulu sebelum ianya dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap itu mempunyai pelbagai rekod jenayah kesalahan lampau.

“Tangkapan Geng Ayoi itu berjaya menyelesaikan sebanyak 23 kes kecurian motosikal, termasuk 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

“Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sehingga semalam dan disambung reman sehingga esok (Selasa) untuk melengkapkan kertas siasatan,” kata Ahmad Sukarno.-MalaysiaGazette