Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam (belakang enam, kiri) bergambar bersama pasukan Melaka sempena majlis memperkenalkan pemain Melaka Titans bagi Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 di Bandar Melaka malam tadi.

MELAKA – Skuad Melaka Titans yakin mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) selepas kembali layak beraksi di Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatih Melaka Titans Khairul Anuar Ibrahim percaya barisan pemainnya yang terdiri daripada gandingan pemain muda dan berpengalaman mampu memberi tentangan sengit biar pun dianggap ‘underdog’ dalam kejohanan itu.

“Saya baru ambil alih pasukan ini untuk edisi kali ini dengan membuat penambahbaikan dan mengetengahkan pemain muda kelahiran Melaka yang digandingkan dengan pemain berpengalaman pernah mewakili negara dan beraksi di STL sebelum ini.

“Walaupun tidak mempunyai pemain kebangsaan, saya tidak anggap ia satu kelemahan kerana percaya kelebihan yang ada dalam pasukan ini mampu memberikan aksi terbaik, dengan harapan pemain berpengalaman dapat membantu pemain muda,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu berlangsung Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans bagi STL 2023 yang disempurnakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V P Shanmugam.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Khairul Anuar yang pernah membimbing skuad sama pada 2018 berkata pada edisi STL kali ini, Melaka Titans bakal menampilkan lima bekas pemain negara serta dua pemain import dari Thailand dan seorang pemain muda.

“Dua pemain import dari Thailand ini adalah pemain muda dan bukanlah nama yang gah tetapi mempunyai potensi besar.

“Untuk keserasian, mereka juga sudah tahu mengenai permainan masing-masing kerana pernah bermain bersama-sama di peringkat kebangsaan,” katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 44 tahun itu berkata beliau juga menyasarkan Melaka Titans berada dalam kedudukan empat terbaik pada STL musim ini selain kekal berada dalam saingan Liga Premier musim depan.

Melaka Titans yang muncul juara Divisyen 1 pada STL 2021/22 bakal bertemu pasukan ATM Guardians yang memenangi Liga Premier untuk aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini.- BERNAMA