KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju memberi pakej bantuan menyeluruh kepada atlet olahraga, Shereen Samson Vallabouy untuk meneruskan program latihan di Amerika Syarikat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pakej bantuan yang akan bermula pada 1 Jun 2023 sehingga Julai 2024 akan membolehkan Shereen menjalani latihan di Lifespeed Athletics Florida dibawah kendalian jurulatih, Derrick White.
Jelas Hannah, bantuan berkenaan merangkumi kos penginapan, kos kejurulatihan, elaun makan, makanan tambahan, suplemen, rawatan cyro dan perkhidmatan urutan sukan, pendedahan kejohanan dan lain-lain lagi.
“Besar harapan dengan adanya pakej bantuan ini, Shereen akan bekerja lebih keras untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia pada 19 hingga 17 Ogos di Budapest, memenangi pingat di Sukan Asia Hangzhou serta seterusnya layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Inisiatif bantuan yang dinikmati ole Shereen ini juga adalah komitmen untuk memperkasakan lagi usaha pembabitan wanita dalam sukan yang menjadi antara keutamaan Kementerian ketika ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, beliau Hannah berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Shereen baru-baru ini bagi membincangkan keperluan dan kebajikan atlet tersebut selepas tamat pengajiannya kelak.
Hannah berharap bantuan daripada KBS akan menjadi pendorong kepada lebih ramai atlet muda yang berpotensi untuk membuktikan kemampuan mereka supaya dapat menikmati bantuan seperti diberikan kepada beliau berdasarkan merit.
Shereen membuktikan beliau sebagai ‘ratu’ acara 400 meter (m) Asia Tenggara apabila memenangi pingat emas dalam acara berkenaan pada Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh pada 9 Mei lalu.
Sementara itu Hannah mengesahkan Majlis Sukan Negara kini dalam proses perbincangan bersama atlet olahraga lelaki negara, Umar Osman untuk mengenal pasti bentuk sokongan demi membantu dalam persiapannya bertanding di Sukan Asia Hangzhou dan pertandingan-pertandingan yang akan datang.-MalaysiaGazette