PETALING JAYA – Walaupun adab orang Malaysia ketika menggunakan tandas awam telah bertambah baik, tetapi perubahan yang signifikan masih tidak berlaku.
Perangai buruk pengguna tandas termasuk merokok, membiarkan paip diletakkan di atas lantai, membuang sampah, menconteng dinding serta bersembang dalam bilik air.
Pengerusi Persatuan Bilik Air Berkualiti, Hasan Hamzah berkata, ramai orang Malaysia antaranya masih mencangkung di atas tandas duduk kerana tabiat persendirian dan juga faktor kebersihan.
“Amalan ini sebenarnya sangat bahaya kerana pengguna tandas mungkin tergelincir dan mangkuk tandas duduk juga mungkin pecah kerana tidak dapat menampung berat,” katanya kepada Sinchew Daily
Beliau berkata, masalah di bilik air lelaki adalah pengguna tidak membersihkan tandas selepas menggunakannya serta air kencing di lantai yang menyebabkan bau busuk.
“Walaupun bilik air secara keseluruhannya nampak bersih, tetapi bau busuk akan menjejaskan pengalaman pengguna,” katanya.
Menurutnya lagi, tandas perempuan pula berlaku kes tuala wanita yang menyumbatkan tandas dan sistem pembentungan seluruh bangunan.
Hasan berkata, bilik air yang baik perlu mengambil kira tiga kriteria penting iaitu rekaan yang baik, mesra alam dan penyenggaraan secara kerap.
“Anda mungkin terkejut kerana kami mendapati jika satu bilik air itu bersih, selesa, cantik dan mesra pengguna, maka kes merosakkan tandas juga hampir tidak akan berlaku.
“Ini mungkin berkaitan dengan sifat manusia yang tidak mahu menyebabkan kerosakan apabila mereka melihat sesuatu yang indah.
“Keadaan sebaliknya akan berlaku jika pengguna tidak berpuas hati dengan satu tandas, contohnya tiada air. Saya berpendapat mereka mungkin melakukan kerosakan kerana berasa marah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementeriannya akan mengumumkan garis panduan dan piawaian untuk mencapai standard A kebersihan tandas dalam dua bulan akan datang.
Katanya, terdapat 26,000 tandas awam di seluruh negara termasuk di restoran, pusat penjaja, stesen minyak dan hentian rehat dan rawat lebuh raya.
Beliau berkata, polisi tidak memperbaharui lesen perniagaan untuk premis yang mempunyai tandas kotor akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Januari tahun depan.
“Dasar ini akan bermula 1 Januari 2024 dengan bilik air di hotel, restoran dan kafe yang dikawal selia dewan bandar raya dan mereka harus mencapai standard A sebelum lesen mereka diperbaharui.
“Dasar sama akan diperluaskan kepada majlis perbandaran pada 1 Januari 2025 dan majlis daerah pada 1 Januari 2026,” katanya.
Secara umumnya, bilik air yang baik harus menepati prinsip BMW iaitu bersih, menawan dan wangi. – MalaysiaGazette