saman RCI Tommy
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Lim Sian See berpandangan, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak akan ditubuhkan walaupun pengumuman mengenainya dibuat oleh Kabinet kira-kira empat bulan lalu.

Menurut beliau, siasatan mungkin tidak dijalankan terhadap tindakan Tommy dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 walaupun ia dinyatakan secara jelas dalam laporan pasukan petugas khas.

Sia See berkata, hasil siasatan mungkin mengesahkan bahawa pelantikan hakim-hakim kanan dibuat dengan tidak mengikut prosedur yang betul dan ia bermakna bahawa semua kes di negara ini sejak mereka dilantik boleh dicabar di bawah undang-undang.

“Adalah lebih mudah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan untuk penubuhan satu tribunal berhubung tindakan terhadap Ketua Hakim Negara atas dakwaan melanggar Kod Etika Hakim khususnya perkara 7(5), 8(3) dan 11.

“Walau bagaimanapun, langkah ini tidak menghalang mana-mana individu daripada memfailkan permohonan meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa hakim-hakim kanan dilantik secara tidak betul dan bercanggah dengan Akta JAC,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, RCI tersebut masih belum ditubuhkan walaupun penubuhannya dipersetujui kerajaan pada 11 Januari lalu.

Beliau memberitahu, kerajaan telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

“Perkara ini dalam perincian dan tindakan lanjut oleh pihak BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), JPM (Jabatan Perdana Menteri) sebelum diangkat ke Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).

Terdahulu, dalam laporan yang telah dinyah sulit, pasukan petugas khas berkenaan mengesyorkan agar Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pasukan tersebut turut mencadangkan Jabatan Audit Negara serta agensi lain menjalankan audit serta siasatan lain mengenai kemungkinan salah laku Tommy semasa menjadi Peguam Negara. – MalaysiaGazette