OPR kenaikan guan eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 Mei lalu tidak menguntungkan sesiapa kecuali sektor perbankan.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, penganalisis di Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menganggarkan, dalam tempoh setahun pendapatan hadapan, kenaikan kadar 0.25 peratus akan melonjakkan keuntungan bersih bank tersebut sebanyak 3.7 peratus.

Menurut beliau, jumlah itu melebihi RM1 bilion kepada RM30.07 bilion berbanding RM28.99 bilion yang diunjurkan sebelum ini.

“Adakah bank tidak memperoleh keuntungan yang mencukupi?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu berpandangan, normalisasi OPR secara pramatang oleh BNM tidak membantu membendung penyusutan nilai ringgit kepada dolar AS malah mungkin menjejaskan kos pinjaman, mengekang pengembangan perniagaan dan merencat pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau menambah, pengukuhan nilai ringgit adalah antara sebab yang disebut oleh mereka yang mempertahankan kenaikan 25 mata asas dalam OPR oleh BNM.

“Boleh diperhatikan dalam tempoh tiga minggu, nilai ringgit telah merosot daripada RM4.45 pada 3 Mei kepada RM4.58 hari ini.

“Sehingga hari ini banyak perniagaan yang terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit masih menunggu maklum balas BNM,” jelasnya.

Guan Eng memberitahu, hujah utama BNM untuk kenaikan OPR adalah keperluan untuk mengekang inflasi teras dan melaksanakan normalisasi kadar dasar semalaman berikutan pemulihan ekonomi sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, terdapat kebimbangan sebenar sama ada kenaikan OPR terkini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjadikan lebih sukar bagi Malaysia untuk mengulangi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus pada suku kedua 2023.

“Menurut S&P Global Market Intelligence, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang diselaraskan mengikut musim kekal di bawah paras 50 mata yang memisahkan pengembangan dan penguncupan bulanan, dengan indeks tidak berubah pada 48.8 pada April 2023.

“Ini adalah isyarat amaran bagi sektor pembuatan Malaysia yang lemah pada permulaan suku kedua tahun ini disokong oleh pertumbuhan perdagangan April 2023 yang jatuh sebanyak 14.5 peratus tahun ke tahun kepada RM198 bilion di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan mengenai kenaikan OPR sekarang untuk mengawal inflasi teras, apabila inflasi teras sebenarnya menyederhana tanpa sebarang kenaikan OPR, kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 berbanding suku akhir pada 2022 sebanyak 4.2 peratus.

Selanjutnya, Guan Eng menambah, terdapat dua jeda kadar faedah tanpa kenaikan OPR oleh BNM pada Januari dan Mac 2023, walaupun inflasi teras lebih tinggi pada 4.2 peratus pada suku akhir 2022 berbanding 3.9 peratus pada suku pertama 2023.

“Tiada sebab untuk BNM menaikkan OPR sekarang apabila inflasi teras telah mampu dikawal secara perlahan, malah menghentikan kenaikan OPR pada Januari dan Mac apabila kadar inflasi lebih tinggi.

“Walaupun BNM tidak menaikkan OPR pada Januari dan Mac tahun ini, kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras turun ke paras terendah 34 bulan masing-masing pada 3.4 peratus dan 3.8 peratus pada Mac lalu,” jelasnya. – MalaysiaGazette