KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia (KRPPM) akan memastikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dikembalikan semula.
Pengerusinya, Wong Chen berkata, keperluan Akta Perkhidmatan Parlimen itu dikembalikan bagi memastikan wujudnya pemisahan kuasa antara Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman berlaku.
“Konsep pemisahan kuasa di mana Parlimen dan Eksekutif tidak boleh bersama di bawah satu bumbung, mereka perlu diasingkan dan badan kehakiman kedudukan ketiga.
“Ketika ini, Parlimen di Malaysia kurang lebih di bawah kawalan kerajaan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Jelas Wong Chen, kawalan ke atas Parlimen dilihat lebih kepada pendanaan dan jawatankuasa tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya dana tidak mencukupi bagi membiayai kos dan perbelanjaan.
“Kalau dana tak cukup, kerajaan boleh kawal Parlimen, seperti semua jawatankuasa, kita cuba lakukan kerja kita, tetapi kalau dana tak cukup, kita susah nak buat kerja Parlimen.
“Speaker telah beri jaminan bahawa beliau akan cuba mendapat dana secukupnya untuk jawatankuasa berfungsi dengan baik,” katanya.
Menurut Wong Chen, akta itu perlu dikembalikan supaya kakitangan memberi fokus sepenuhnya kepada perjalanan dan urusan Parlimen dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak termasuk pejabat Perdana Menteri.
“Kita ada kakitangan kontrak di Parlimen, tetapi pegawai-pegawai di Parlimen adalah di bawah kawalan Pejabat Perdana Menteri, di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Di negara lain, ada pemisahan kuasa dinamakan Akta Perkhidmatan Parlimen di mana pegawai itu memang komited kepada Parlimen sahaja.
“Jadi dia tidak akan mendapat arahan daripada Perdana Menteri atau pejabat Perdana Menteri atau minta pandangan daripada menteri-menteri. Kerja mereka untuk beri sokongan kepada Parlimen,” katanya.
Selain itu, Wong Chen memberitahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman telah memberi jaminan perkara itu akan diteliti semula.
“Saya selalu berjumpa dengan Datuk Seri Azalina bertembung di Parlimen, beliau beri jaminan akan melihat perkara itu dengan serius.
“Apa yang kita tahu semasa Tan Sri Arif sebagai Speaker, draf akta ini sudah ada pun. Tidak timbul soal masa untuk membuat draf, cuma keazaman politik.
“Kita harap dengan kerajaan baharu, semua perkara diselesaikan sekarang dan jawatankuasa kita sudah bermula. Saya harap ada sokongan untuk memastikan akta ini kembali atas meja.
“Saya faham kerajaan ini banyak kerja, mungkin penghujung tahun ini atau Mac tahun depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette