Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sudah tiba masanya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melanjutkan perlindungan dan manfaatnya kepada pesara daripada sektor swasta.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, adalah penting bagi pekerja sektor swasta untuk terus menerima perlindungan perubatan semasa bersara pada usia 60 tahun kerana mereka mudah untuk mendapat komplikasi penyakit.

Tambahnya, jangka hayat rakyat Malaysia juga semakin meningkat selain 15 peratus populasi negara adalah melebihi umur 65 tahun menjelang 2050.

“Ketika ini terdapat kira-kira 200,000 pekerja swasta yang bersara setiap tahun namun begitu, mereka tidak lagi mendapat perlindungan dan manfaat daripada PERKESO apabila telah bersara sedangkan mereka amat memerlukan bantuan itu.

Tambahan pula, pesara swasta sudah tidak lagi mendapat manfaat kesihatan daripada majikan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussain turut mendakwa, PERKESO tidak memberi banyak manfaat ketika pekerja masih berkhidmat kerana kecederaan atau penyakit akibat pekerjaan sangat jarang berlaku dan menyebabkan ramai yang tidak membuat tuntutan.

“Sebagai sebuah organisasi sekuriti sosial yang ternama, PERKESO patut mencari jalan untuk membuat pelaburan daripada caruman supaya menghasilkan pulangan yang baik dan dalam masa sama mereka skim-skim yang dapat memberi perlindungan kepada pesara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast