GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud unsur kongsi gelap dalam dua kejadian buli membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah di Butterworth di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sekiranya siasatan itu menjurus kepada penglibatan kongsi gelap, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
“Kes buli di sekolah itu memang kita sudah buat tangkapan sebelum ini namun disebabkan suspek terdiri dalam kalangan pelajar kita telah bebaskan mereka dengan jaminan polis.
“Kini kita sedang lakukan siasatan sama ada wujud penglibatan kongsi gelap disebalik kejadian itu. Kalau ya, kita akan ambil tindakan ke atas kongsi gelap itu.
“Selain itu, kertas siasatan berhubung insiden buli ini juga akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth.
MalaysiaGazette difahamkan dakwaan wujud unsur kongsi gelap tercetus selepas pihak polis menahan seorang lelaki berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah dan dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Dua insiden buli dalam tandas, polis rampas enam telefon bimbit
Susulan daripada penahanan kesemua suspek itu, polis turut merampas enam buah telefon bimbit bagi membantu siasatan bagi kedua-dua kes buli tersebut.
Kes pertama berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari membabitkan mangsa pelajar tingkatan dua dipukul seorang pelajar Tingkatan Tiga.
Manakala kejadian kedua pula, mangsa merupakan pelajar tingkatan satu telah dipukul sembilan pelajar senior kira-kira jam 3 petang, yang mana mangsa hanya mengenali seorang daripada suspek.
Selain itu, siasatan polis juga mendapati kedua-dua mangsa dipukul di tandas lelaki sekolah terbabit menggunakan tangan dan kaki tanpa sebarang objek lain. – MalaysiaGazette