zuhdi marzuki undi UMNO sokongan
Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki percaya hampir separuh daripada ahli akar umbi UMNO akan beralih sokongan dengan tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) pada enam pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Menurut beliau, sejak konflik dalaman UMNO pada 1987 dengan wujudnya Team A dan Team B, kemudian berpecah pula semasa Era Reformasi 1998 dan yang terakhir pasca isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016, lazimnya perpecahan menyebabkan ahli akar umbi terbelah dua.

Apatah lagi kali ini, katanya, UMNO telah dibawa oleh pimpinannya ‘berdakap’ dengan DAP yang menunjangi agenda Malaysian Malaysia.

“Sekiranya separuh ahli akar-umbi UMNO beralih kemudi, maka berdasarkan dapatan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu 32 peratus pengundi Melayu menyokong UMNO, bermaksud tinggal hanya 16 peratus pengundi Melayu yang masih menyokong mereka.

“16 peratus yang selebihnya boleh jadi akan membuat undi protes terhadap PH-BN, sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi PN,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin parti akan menyantuni penyokong UMNO untuk meyakinkan mereka mengundi DAP yang bakal bertanding di bawah tiket PH pada PRN kelak.

Sebagai timbal balik, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula berkata, parti itu juga akan menggesa agar ahlinya mengundi calon UMNO dan BN demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Mohd Zuhdi menambah, dalam PRN akan datang, undi protes 16 peratus pengundi Melayu ini bakal menentukan siapa yang menang di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

“Undi protes ini juga bakal memperkukuhkan lagi dominasi Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Terengganu dan Kelantan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, meskipun ramai yang memandang sinis kesetiaan ahli akar umbi UMNO terhadap perjuangan agama, bangsa dan tanahair, pengalaman bersama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini menunjukkan cukup ramai dalam kalangan mereka yang benar-benar jujur dengan perjuangan tersebut.

“Oleh sebab itu, apabila pimpinan utama UMNO berdakap dengan DAP, ahli-ahli akar umbi ini diyakini akan beralih kemudi,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Jauh lebih baik akar umbi UMNO undi DAP daripada ungi PN yang penipu dan penyangak. Mereka hidup atas sang sakau.

  2. undi la umdap tu, habis huru hara negara nanti.. bangnon kaki belit
    apa yg rakyat dapat? hidup lagi susah. semua barang naik harga. saham & mata wang makin jatuh, belum lagi isu2 panas yg lain.. lagi menjahanankan

Comments are closed.