KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan subsidi bersasar bagi RON95 dan diesel akan diumumkan dalam bajet 2024.
Menurutnya, kebiasaan kerajaan akan membuat pengumuman berkaitan dasar utama pada pembentangan bajet yang dilaksanakan pada hujung tahun.
“Kita ada masa (lagi). Kemungkinan, kebiasaan perkara besar untuk dibuat pada tahun selepasnya akan dibuat pada ucapan bajet, saya tak boleh jangka.
“Belum fikir bajet tahun depan. Perkara utama biasanya diumumkan dalam bajet bulan 10, bulan 11,” kata Ahmad kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen selepas majlis menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai Atas Pendapatan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai dengan Timbalan Menteri Kewangan Maldiev.
Ahmad berkata, kerajaan masih lagi memperhalusi kaedah subsidi bersasar yang akan dilaksanakan terhadap kedua-dua bahan bakar tersebut.
“Keputusan itu (untuk melaksanakan subsidi bersasar) secara prinsip dan secara dasar sudah ada. Tetapi bagaimana kaedah terperinci belum lagi dapat diputuskan
“Sama ada menggunakan kad pengenalan, kad khas, menggunakan cc kereta belum diputuskan. Sama ada menggunakan senarai T20, M40, B40 itu antara perkara dalam pertimbangan,” kata Ahmad.
Sebelum ini subsidi bersasar telah dilaksanakan terhadap bantuan kewangan haji dan penggunaan elektrik kepada golongan T20.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu sistem penyelarasan data yang dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.
Pelarasan tarif elektrik bagi separuh tahun pertama 2023 dibuat dengan mengekalkan tarif bagi golongan isi rumah, PKS (perusahaan kecil dan sederhana) serta pengeluar pertanian, tetapi mengurangkan subsidi yang diberikan kepada syarikat pengguna elektrik terbesar.- MalaysiaGazette