Ahmad Maslan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM11.2 bilion wang tidak dituntut diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara (JANM) sehingga 30 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslah berkata, wang di dalam akaun bank yang tidak aktif paling banyak tidak dituntut iaitu sebanyak 70 peratus.

“Definasi wang tak dituntut ini ada tiga. Pertama, wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus, dividen dalam tempoh setahun atau lebih.

“Kedua, wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat ada lebihan dalam tempoh dua tahun atau lebih.

“Ketiga paling banyak sekali iaitu 70 peratus daripada 11.2 bilion ini ialah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih,” kata Ahmad dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahmad, kerajaan telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion kepada rakyat yang menuntut sehingga 23 Mei lalu.

Jelas beliau, sejumlah RM10 bilion daripada wang tidak dituntut telah dimasukkan ke dalam simpanan tetap.

Sejak 10 tahun lalu, kerajaan memperoleh dividen RM250 juta setiap tahun dan wang itu disalurkan ke dalam Wang Yang Disatukan untuk digunakan bagi pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

“Kumpulan Wang Disatukan ini ada tiga. Satu, Akaun Hasil Disatukan di situ kita masuk RM3 bilion. Kedua Akaun Amanah Disatukan di situ ada RM7 bilion wang tak dituntut.

“(Keseluruhan) RM10 bilion ini sebagaimana disebutkan tadi masuk dalam simpanan tetap. Ada RM1 bilion untuk pusingan untuk pembayaran,” kata Ahmad.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang – PH) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah wang tidak dituntut setakat 31 Mei lalu dan apakah cadangan untuk memanfaatkan wang tersebut yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Sementara itu, Ahmad menjelaskan, rakyat boleh membuat semakan dan menuntut wang wang terbabit melalui laman sesawang Jabatan Akauntan Negara di www.JANM.my atau melalui portal E-GUMIS.

“Boleh tuntut dalam masa 14 ke 30 hari apabila dokumen lengkap diberikan dapat wang itu kembali. Silalah tuntut. Periksa dulu ada ke tidak wang tidak dituntut

“Oleh kerana kad pengenalan saya diketahui ramai jadi ada orang lain yang cuba tuntut, lebih kurang 12 orang. Jangan buat begitu

“Siapa-siapa nak tuntut tak perlu sediakan ejen. Tak perlu buat pembayaran. Boleh terus ke portal tersebut dan mereka akan proses,” jelas Ahmad.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast