Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengotakan janji membentangkan serta meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ketiadaan undang-undang yang jelas dan komprehensif bagi mengawal selia pengiklanan, promosi, penjualan dan penggunaan produk itu mendedahkan risiko yang serius kepada kesihatan awam, terutama golongan remaja serta kanak-kanak.

Jelas beliau, ia juga bagi mengatasi isu ketiadaan kawalan undang-undang terhadap produk rokok elektronik atau vape selepas pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 pada 1 April lalu.

“CAP mengingatkan kerajaan mengenai janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat pada April lalu yang mahu membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG pada sidang Parlimen Mei ini.

“Ini kerana penggunaan produk rokok elektronik atau vape dengan pelbagai perisa yang menarik dan taktik pemasaran kotor oleh pemain industri, menarik minat generasi muda bagi mencuba dan menggunakan rokok elektronik atau vape.

“Ia membawa kepada risiko ketagihan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah berulang kali menyatakan pendirian bagi membentangkan RUU bersama peruntukan GEG menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kesihatan.

Jelas beliau, dengan meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG, Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat dapat membuktikan komitmen mereka yang teguh dalam melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia, terutama golongan belia.

“RUU Kawalan Produk Merokok tidak seharusnya dijadikan isu politik dan masalah merokok adalah isu kesihatan perlu dipandang serius semua Ahli Parlimen yang bertanggungjawab bagi melindungi masyarakat daripada ancaman bahaya produk merokok.

“Justeru, kami dengan tegas mendesak kerajaan supaya mengutamakan kesihatan awam dengan memenuhi janji yang sudah diberi kepada rakyat dan membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG dengan segera tanpa berlengah lagi,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette