situasi ekonomi MCA
Tan Tuan Peng (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Kabinet perlu membuat penilaian semula terhadap situasi ekonomi semasa yang semakin merudum ekoran kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang lain khususnya dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura.

Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi MCA, Tan Tuan Peng berkata, kerajaan perlu melaksanakan segera perancangan yang konkrit bagi memperkukuhkan ekonomi negara serta mengeluarkan rakyat daripada masalah ekonomi yang sedang dihadapi.

Menurut beliau, seperti yang dapat dilihat, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak membantu menaikkan nilai ringgit.

“Ini menunjukkan bahawa bagi memastikan ringgit benar-benar mengukuh berbanding mata wang lain, keseluruhan ekonomi Malaysia perlu digerakkan bagi meningkatkan kekuatan ekonomi negara.

“Jika tidak, penyusutan nilai ringgit yang berterusan akan menjadi memberi kesan yang sangat menjejaskan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, nilai ringgit menyusut lagi kepada RM4.62 berbanding dolar AS dan RM3.42 berbanding dolar Singapura.

Tuan Peng menambah, dengan penyusutan nilai ringgit, harga barangan akan naik ekoran kesan terhadap rantaian bekalan.

Beliau memberitahu, sebuah keluarga kecil yang lazimnya membelanjakan RM2,000 sebulan untuk makanan terpaksa menambah RM1,000 lagi untuk perbelanjaan yang sama dalam ekonomi yang lemah.

“Tambahan pula, harga barangan import akan naik dan secara tidak langsung, peningkatan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tuan Peng meminta Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memikul tanggungjawab dalam memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, sekiranya nilai ringgit terus jatuh, pelabur-pelabur asing akan hilang keyakinan serta keluar dari negara ini sekali gus menyebabkan usaha pemulihan menjadi sukar serta kehidupan rakyat menjadi semakin sukar.

“Dalam keadaan sedemikian, tidak mengejutkan apabila rakyat yang miskin dan menderita bersikap kritikal terhadap kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette