Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 penduduk kampung dari lima daerah bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri Sabah kelmarin.

MHO hadir bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah adat di Sabah yang sudah membelenggu ribuan rakyat di negeri itu.

Difahamkan pihak pimpinan kerajaan negeri telah mengeluarkan amaran supaya jangan ada pihak-pihak tertentu cuba menganggu kententeraman awam dan kemungkinan besar kumpulan atau individu tersebut akan dilarang memasuki Sabah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun pihaknya tidak pasti siapakah yang dimaksudkan oleh pimpinan kerajaan negeri itu namun beliau mahu membuat penegasan pihaknya tidak berniat untuk menggangu  ketenteraman awam.

Sebaliknya, MHO sudah lama berjuang atas platform kebajikan dan hak asasi tidak kira kaum, batasan, warna mahu pun kedudukan geografi, katanya.

“Saya tidak pasti siapa yang dimaksudkan tetapi saya bukanlah begitu asing untuk negeri Sabah, isteri saya adalah dalam kalangan Kadazan, anak saya dilahirkan di negeri itu. Mestilah Sabah itu dekat di hati saya.

”Ada juga beberapa media sudah hubungi saya tentang kenyataan ini, saya tidak pasti kerana tidak ada apa-apa yang rasmi tetapi saya hendak guna peluang jelaskan isu ini.

“Tetapi melangkaui itu, isu tanah adat itu sendiri amat dekat dengan saya, keluarga saya sendiri pernah isu itu ketika umur saya 12 tahun, saya telah dididik sehinggalah bergelar seorang peguam kerana isu-isu ini pernah menghantui keluarga nenek moyang saya di Bukit Mertajam satu ketika dulu.

“Kerana itu juga apabila saya difahamkan isu tentang konflik tanah adat oleh golongan orang asal ini di beberapa daerah, tanah yang mereka terokai sejak lima hingga tiga generasi, adakah salah untuk kami tampil bersuara, berjuang untuk mereka?

Difahamkan juga isu tanah adat penduduk membabitkan penduduk dari daerah Keningau, Kundasang Ranau, Sandakan, Sapulut dan Tongod juga datang ‘berkampung’ di Kota Kinabalu sejak Isnin lalu untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Tujuan memorandum itu dihantar bagi mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Ketua Menteri berhubung isu pemansuhan geran komunal dan usaha untuk memberi geran native titles atau kepada penduduk kampung tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. jamgan ada yang pandamg REMEH HAK TANAH ADAT ANAK NEHERI SABAH. sesebuah Kerajaan tidak akan terbentuk jika tiada rakyat.

Comments are closed.