KUALA LUMPUR – Mekanisme baharu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tujuan pelaksanaan subsidi bersasar tarif elektrik dijangka diumumkan hujung tahun ini.
Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengumuman akan dibuat selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap.
Ujarnya, kini kementerian sedang meneliti opsyen ICPT yang sesuai untuk pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 1 Disember 2023.
“Kita mahu memastikan, jika sebelum ini, model pembangunan negara adalah ekonomi kos rendah, kita mahu menjadi ekonomi nilai tinggi dan kita juga mahu mencapai kecekapan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.
“Hanya jika kita betul-betul lepaskan kos itu kepada pengguna voltan tinggi dan sederhana, dan pengguna besar atau T20, baru kita dapat mencapai objektif itu.
“Keputusan untuk ICPT seterusnya akan dibuat selepas pembentangan dan persetujuan di peringkat Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan) mengenai perbelanjaan subsidi yang dijimatkan kerajaan berikutan pelarasan ICPT pada Januari lalu pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, kerajaan telah membuat penjimatan sebanyak RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini yang mana kos tersebut telah dilepaskan kepada pengguna secara bersasar.
Namun katanya, kerajaan masih menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion atau bersamaan surcaj 7 sen/kWj agar peningkatan surcaj yang sebenar tidak dilepaskan secara keseluruhannya kepada pengguna-pengguna yang terlibat.
“Dalam hal ini, Kerajaan telah memberikan komitmen untuk menampung subsidi bil elektrik berjumlah RM10.76 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 untuk memastikan seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik,” tambahnhya. – MalaysiaGazette