Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menghalang sekiranya gula putih bertapis jernih dinamakan sebagai gula premium.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebarang penjenamaan bagi produk tersebut adalah hak syarikat industri berkenaan.

“Itu terpulang kepada pihak industri mahu cakap (penjenamaan) apa, itu cara pemasaran pihak industri,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDN di sini hari ini.

Jelasnya, harga bagi produk berkenaan juga akan ditetapkan oleh mereka sendiri kerana kerajaan tidak meletakkan harga siling.

“Tiada harga siling, itu kita tidak kawal. Harga itu ditetapkan mereka tapi jangan melampau sebab kalau terlalu melampau maka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan ambil tindakan,” ujarnya.

Menurut Salahuddin, orang ramai tidak perlu gusar dengan perkara tersebut kerana keperluan asas sememangnya dikawal kerajaan.

“Sama seperti minyak petrol RON 95, itu harga dikawal oleh kerajaan tapi RON 97 itu market. Beras putih kita kawal untuk rakyat tapi kalau mahu makan beras wangi atau beras basmathi, maka terpulang kepada rakyat untuk memilih.

“Sama juga seperti telur omega dengan telur gred biasa. Apa yang penting, demi rakyat kita pastikan keberadaan cukup di pasaran dan harga tidak dinaikkan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan membenarkan permohonan dua syarikat pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih.

Kebenaran itu bermula pada hari ini dengan harga produk tersebut tidak dikawal kerajaan sebaliknya ditentukan pasaran.

“Kita juga sudah beri arahan kepada MSM dan CSR untuk terus keluarkan gula putih bertapis sedia ada yang saya sifatkan sebagai gula rakyat dengan kuantiti semasa sebanyak 42,000 tan sebulan.

“Rakyat tidak perlu panik sebab gula sedia ada tetap berada di pasaran. Saya sudah ingatkan syarikat pengeluar gula akan dikena tindakan jika gagal mengeluarkan bekalan gula rakyat yang mencukupi,” ulasnya. – MalaysiaGazette

Kerajaan benarkan MSM, CSR jual gula putih bertapis jernih

1 Komen

  1. SALAHuddin Ayub…
    Harga gula dorang nak jual RM10 sekilo pun biarlah… nanti rakyat tahulah nak buat seperti formula Rafizi Ramli.. rakyat tidak akan beli.. betul tak rakyat PRN 6 NEGERI? Rakyat NEGERI lain dah tak boleh buat apa-apa terpaksa hulur MUKA serah tengkok… yang membantu rakyat PRN 6 NEGERI untuk menyampaikan mesej…
    ok Sayonara goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.