Gula premium yang dikatakan bakal berada dalam pasaran.

KUALA LUMPUR – Kerajaan setuju dengan permohonan syarikat pengeluar gula negara, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang harganya ditentukan oleh pasaran.

Kebenaran untuk penjualan gula putih bertapis jernih akan bermula pada 25 Mei 2023.

Kenyataan terkini ini menjawab spekulasi mengenai bungkusan gula premium yang tular di media sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengaskan gula tersebut tidak menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada
(kasar dan halus).

Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggannya.

Artikel berkaitan:Pastikan bekalan gula standard cukup bila perkenal gula premium

Pengeluar belum dapat lampu hijau jual gula premium

Pengilang bakal keluarkan gula premium?

Bekalan terjejas: Sudah tiba masanya kawalan harga gula dihapuskan

“Kerajaan telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus),” katanya dalam kenyataan di sini.

KPDN turut mengajak pengguna Malaysia untuk mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia juga mengajak pengguna untuk bersama-sama KPDN dalam memastikan bekalan gula di pasaran sentiasa mencukupi melalui maklum balas dan laporan pasaran melalui salah satu saluran aduan rasmi kementerian. – MalaysiaGazette