Azrel Ismail

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Awesome TV menuntut permohonan maaf daripada pelakon, Norlia Ghani dan Azrel Ismail kerana memburukkan nama stesen secara tidak adil.

Awesome TV menjelaskan, ini kerana pihaknya tiada kena mengena dengan isu pembayaran tertunggak seperti yang didakwa pelakon itu sebelum ini.

“Pembayaran kepada pelakon-pelakon tersebut adalah tanggungjawab syarikat produksi yang dilantik oleh pihak kami untuk menerbitkan drama terbabit.

“Tindakan Norlia dan Azrel menggunakan media massa dan media sosial mempersoal mengenai bayaran secara tidak langsung mengheret pihak kami dalam kemelut ini, sekali gus mencalarkan imej dan reputasi Awesome TV,” katanya dalam kenyataan.

Awesome TV turut menyarankan golongan artis menyemak kontrak sebelum membuat sebarang tuduhan.

Pada masa sama, netizen juga ditegur agar tidak membuat spekulasi dengan hanya mendengar sebelah pihak sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan Azre berasa kecewa kerana masih belum menerima bayaran tertunggak lakonannya dalam drama bersiri Jodoh Duda 1.

Pelakon veteran Norlia Ghani pula meluahkan perasaan kecewa kerana pihak stesen TV terbabit belum melunaskan bayaran lakonannya dengan membuat perkongsian menerusi laman Instagram miliknya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.