Che Tom menerima kunjungan Zakat Pulau Pinang di rumahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

KEPALA BATAS – “Kami memohon agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) Warie diteruskan selagi boleh kerana hati saya kuat mengatakan dia masih hidup,”.

Demikian luah Che Tom Hassan, 64, ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim yang juga orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.

Menurut wanita itu, mereka sekeluarga kekal positif walaupun operasi SAR Muhammad Hawari bakal ditamatkan Ahad ini.

Katanya, dia yakin anak ketiga daripada lima beradik itu mampu bertahan susulan mempunyai peralatan lengkap selain bekalan makanan yang mencukupi ketika dilaporkan hilang.

“Naluri saya kuat mengatakan yang Warie masih hidup dan kami seluruh keluarga amat berharap dia dapat kembali dengan selamat.

“Malah, besar harapan saya agar anak saya balik dalam macam mana keadaan dia sekalipun, kami terima,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar di sini, semalam.

Che Tom ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, Che Tom dan keluarga menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali yang meluangkan masa bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan.

Tambah Che Tom, dirinya tidak kuat untuk menghadapi dugaan ini hingga mengakibatkan tidurnya terganggu mengenangkan keadaan Muhammad Hawari.

“Saya ada lakukan solat hajat, namun sehingga kini belum ada sebarang petunjuk.

“Kami sekeluarga mohon doa daripada seluruh Malaysia kerana saya sendiri tidak kuat untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

P.Pinang sumbang RM500,000 untuk SAR Muhammad Hawari

Keluarga harap Hawari akan pulang dengan selamat

Pada Rabu lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan sumbangan RM500,000 bagi menampung kos operasi SAR Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di Gunung Everest sejak Jumaat lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sumbangan itu diberikan selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Peruntukan sebanyak RM500,000 itu disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast