Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada sidang media selepas Majlis Dukumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Ahli UMNO tidak perlu risau untuk mengundi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana logo dan bendera parti itu tidak terpapar pada kertas undi termasuk UMNO sendiri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana ahli UMNO hanya perlu mengundi calon daripada Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) kerana tiga parti komponen iatu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan Warisan tidak terlibat dalam PRN di enam negeri nanti.

Realitinya, menurut beliau, PRN hanya akan menyaksikan pertandingan tiga kumpulan parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin beri kefahaman bahawa tidak ada logo DAP dan UMNO pada kertas undi kerana kita bertanding itu dalam kumpulan atas nama Kerajaan Perpaduan.

“Bukan atas nama parti DAP dan ketika PRN, bila kita dalam satu pasukan perlu saling tolong-menolong. Masa PRN, tiada ada bendera atau logo DAP dalam kertas undi termasuk UMNO.

“Yang ada hanya logo PH dan BN,  di mana itu hakikat pada PRN,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Perbaharaan Dasar, Datuk Zamzuri Abdul Aziz (kiri) dan Timabalan Ketua Setiausaha Perbendaraan Pelaburan, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin (kanan) menunjukkan dukumen piawaian pada Majlis Dukumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 MEI 2023.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan seorang lagi Ahli MKT, Isham Jalil yang  memberi amaran sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau mahukan ahli mengundi calon DAP pada PRN.

Isham berkata, walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP, dan dikatakan mampu memberi kelebihan kepada parti itu namun “hati akar umbi UMNO masih perlu dijaga”

Ahmad sebelum ini menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab melabelnya sebagai kafir hanya kerana meminta ahli UMNO mengundi DAP, selain menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian antara lain mengutuk tindakan pihak terbabit yang menerbitkan poster menggunakan muka babi dan ditularkan di media sosial.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan I menyifatkan tindakan sedemikian sebagai dangkal dan tidak matang, selain menegaskan perilaku terbabit tidak sepatutnya berlaku.

Isu itu timbul selepas kenyataan beliau meminta ahli UMNO memberi sokongan kepada calon DAP di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, bertujuan memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan, diputar belitkan. – MalaysiaGazette