Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bertegas jawapan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Parlimen mengenai dakwaan menggunakan dana judi membuktikan fitnah telah dilemparkan ke atas parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jawapan Azalina kepada Dewan Rakyat juga membuktikan dakwaan parti itu menerima dana judi adalah satu rekaan.

“Pengesahan oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa tiada satu pun parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi dalam PRU-15 membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah melakukan fitnah.

“Jawapan bertulis Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bertarikh 25 Mei 2023 itu juga secara terang lagi bersuluh mengesahkan bahawa tuduhan Anwar Ibrahim ke atas Perikatan Nasional pada 5 Disember 2022 dan diulanginya pada 6 Disember 2022 adalah rekaan serta pembohongan semata-mata,” kata Hamzah.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, rakyat perlu menghukum secara total terhadap ‘fitnah’ berkenaan terutamanya dalam pilihan raya di enam buah negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.

Azalina semalam menjawab secara ringkas kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang bertanya mengenai status dakwaan bahawa parti-parti dalam PN telah mendapat sumbangan daripada dana judi untuk kempen pilihan raya umum yang lepas.

Azalina berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Walau bagaimanapun, SPRM mendapat maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” kata Azalina dalam jawapan bertulis.

Azalina dalam kenyataan hari ini pula bertegas, beliau tidak menyatakan siasatan SPRM berhubung isu PN menerima dana daripada syarikat judi pada PRU15 telah dihenti atau digugurkan.

Sebaliknya, beliau berkata, jawapan yang diberikan kepada Dewan Rakyat bagi pihak SPRM itu hanya menyatakan  tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

Katanya, SPRM berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tidak kata SPRM henti siasat dakwaan PN terima dana judi – Azalina

1 Komen

Comments are closed.