perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan beliau tidak menyatakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat judi pada PRU15 telah dihenti atau digugurkan.

Sebaliknya, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi berkata, jawapan yang diberikan kepada Dewan Rakyat bagi pihak SPRM itu hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

Katanya, dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan-siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, Azalina menegaskan, selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah diberikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung dengan hal ini mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap perdana menteri.

“Dalam jawapan bertulis SPRM yang telah saya kemukakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi), telah dinyatakan bahawa SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan
maklumat tersebut.

“Walau bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menghormati prinsip “rule of law”, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette