Zaini ( tengah ) membincangkan sesuatu bersama NGO Johor mengenai desakan mengenai kalimah Allah.

JOHOR BAHRU – Majlis Penyelaras Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor mendesak masyarakat bukan Islam negara ini untuk tidak membangkitkan lagi soal isu penggunaan kalimah Allah.

Presidennya, Zaini Atan berkata, hal itu kerana kalimah Allah telah dikhususkan buat masyarakat Islam seperti yang tertulis dalam surah Al-Ikhlas dalam al-Quran.

Katanya, kalimah Allah hanya boleh digunakan individu yang beriman kepada tuhan yang satu bukan berkonsepkan triniti seperti masyarakat Kristian.

“Gabungan NGO Melayu Johor menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di mana kalimah Allah tidak dibenar diguna masyarakat bukan Islam selari dengan kedudukan agama ini dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

“Kami akan memastikan penggunaan kalimah Allah ini tidak disalahguna mana-mana pihak tidak bertanggungjawab, kami juga gesa agar kalimah Allah ini bukan sahaja dikuat kuasa di Johor sahaja tetapi seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan NGO Melayu Johor, Abdullah Md. Yusof.

Selain itu, kata Zaini, pihaknya turut mempersoalkan hasrat masyarakat beragama Kristian di negara ini untuk menggunakan kalimah Allah sedangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu, masyarakat Kristian di sini tidak pernah gunakan kalimah Allah, jadi mengapa sekarang mereka hendak gunakan pula. Jadi terdapat kemungkinan ada satu agenda untuk menyesatkan umat Islam di negara ini?” soalnya.

Pihaknya berharap agar kerajaan Persekutuan dapat meneruskan semula usaha membuatkan rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian di negara ini.

Kelmarin, Sultan Ibrahim bertitah penggunaan kalimah Allah di negeri ini hanya boleh digunakan oleh masyarakat beragama Islam sahaja.

Titah baginda, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam  tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.

Katanya, Negeri Johor mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Katanya, bagaimanapun enakmen itu berkecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor.- MalaysiaGazette