80 warga asing yang ditangkap dalam serbuan di sebuah kilang, Rabu lalu,

KUALA LUMPUR – Seramai lima kanak-kanak warga asing yang dieksploitasi sebagai buruh paksa oleh sebuah kilang perindustrian telah diselamatkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Mereka diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang memproses barang terpakai yang terletak di Teluk Panglima Garang, Selangor lebih kurang 5.45 petang semalam.

Sumber memberitahu, serbuan itu hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), D3, JSJ, Bukit Aman sejak beberapa bulan lalu bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Dalam serbuan sama, seramai 80 warganegara asing telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja.

“Fokus operasi ini adalah mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (ekploitasi buruh paksa) dengan berpandukan kepada indikator National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) yang dibangunkan untuk membantu agensi penguatkuasa dalam mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang.

“Dalam serbuan sama di kilang itu, lima kanak-kanak warga asing berjaya diselamatkan di bawah Akta ATIPSOM kerana disyaki menjadi buruh paksa di premis tersebut,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.

Tambah sumber berkenaan, kesemua lima kanak-kanak itu terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan warga Kemboja dan Myanmar serta dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar dan seorang kanak-kanak lelaki warga Pakistan yang berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati, kanak-kanak yang diselamatkan itu bekerja sebagai buruh di kilang berkenaan dengan meleraikan barang-barang elektronik terpakai sejak tiga bulan lalu dengan upah sebanyak RM70 hingga RM80 sehari.

Jelas lagi sumber berkenaan, semua kanak-kanak ini ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan untuk tindakan lanjut.

“Manakala, 80 warga asing  yang terdiri daripada 29 warga Kemboja, enam warga Bangladesh, 27 warga Myanmar, 13 warga Pakistan dan lima warga China telah direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Dalam operasi terbabit, seorang lelaki warga tempatan yang disyaki pengurus kilang berkenaan dan seorang lelaki warga China disyaki berperanan sebagai penolong pengurus turut diberkas pasukan polis untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek berkenaan kini direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta ATIPSOM dan Akta Imigresen 1959/63.

“Polis turut meneruskan siasatan terhadap kes serbuan ini di bawah Seksyen 14 ATIPSOM, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen,” tegasnya.- MalaysiaGazette