PUTRAJAYA – Sebarang pertukaran dalam anggota Kabinet adalah tertakluk kepada budi bicara perdana menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika menjawab desas desus rombakan Kabinet yang akan dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, Ahmad Zahid menggesa semua pihak menunggu jika benar rombakan tersebut berlaku.
“Itu adalah hak mutlak dan budi bicara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kita tunggu kalau benar perkara itu berlaku,” katanya ketika ditemui selepas penutupan program Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di sini, hari ini.
Beliau turut memberitahu, pada kelazimannya tiada seorang pun perdana menteri yang akan berbincang dalam Kabinet sekiranya mahu melakukan rombakan.
Semalam, sebuah portal melaporkan perdana menteri akan merombak Jemaah Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), namun perlu melakukan “pembersihan” dalam jawatan kanan awam.
Sumber yang enggan didedahkan identitinya itu berkata, Anwar berhasrat menyingkirkan ahli Jemaah Menteri tidak berprestasi, selain memberi keutamaan pembersihan di beberapa kementerian dengan menukar ketua setiausaha dan ketua pengarahnya.
Bagaimanapun, sumber itu berkata, melaksanakan perubahan di peringkat kementerian tidak memberi banyak perbezaan, jika pegawai tidak kompeten masih berada dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung prestasi Jemaah Menteri dalam kerajaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, semua berada dalam keadaan yang memuaskan.- MalaysiaGazette