Datuk Mohd Redza ( kiri ) menyerahkan replika cek kepada Bukhari sempena Kejohanan Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur petang tadi.

JOHOR BAHRU –  Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.3 juta menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur yang berlangsung awal pagi tadi bagi mengumpul dana Rangkaian Klinik Waqaf An-Nur (KWAN).

Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd Rahman berkata, kejohanan Golf Amal buat julung kalinya berjaya menarik seramai 112 pemain serta mendapat sokongan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) selaku penaja utama menerusi sumbangan sebanyak RM1 juta.

Antara penyumbang lain yang turut menyokong penganjuran kejohanan ini ialah Johor Land Berhad, Johor Plantations Berhad, TPM Technopark Sdn Bh serta syarikat-syarikat korporat dan individu.

“Sumbangan dana tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambah baik operasi selain menaiktaraf KWAN yang juga merupakan komitmen waqaf An-Nur dan KPJ Healthcare dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Selaku penganjur, kami mengharapkan lebih banyak lagi organisasi korporat untuk turut serta dan menyumbang dalam kejohanan amal ini pada masa akan datang. Menerusi kejohanan seperti ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan jalinan kerjasama dan silaturrahim dalam suasana yang lebih santai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penganjuran Kejohanan Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur di Ponderosa Golf & Country Resort petang tadi.

Bukhari  memberitahu, sehingga kini, lebih dua juta rawatan telah diberikan kepada pesakit di rangkaian KWAN dan daripada jumlah tersebut lebih 167,000 merupakan jumlah rawatan yang diberikan kepada pesakit bukan Islam.

Acara petang tadi juga berjaya menarik peserta dengan pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan

kepada para pemenang antaranya Proton X50, Motor dan wang tunai kepada peserta yang berjaya melakukan pukulan lubang terbanyak atau ‘hole-in-one’.

Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) merupakan sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa syer dan dilantik sebagai Nazir Khas oleh Majlis Agama Islam Negeri  Johor  (MAINJ) yang pada awalnya untuk menguruskan aset atau saham yang diwakafkan oleh Johor Corporation. -MalaysiaGazette