Noor Azliya (baju kuning) menemani anak saudaranya ke hospital untuk pemeriksaan sebaik dia ditemui di sebuah bangsal di tepi jalan Permatang Keriang, Penaga semalam.

SEBERANG PERAI – Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang hampir 24 jam selepas keluar bermain di rumahnya di Taman Perda Kuala Muda, Penaga, di sini, masih berada dalam keadaan trauma.

Mangsa, Aish Rafeeqa Ammanda Abdul Fatah, 5, dilaporkan mengalami kecederaan di anggota badan akibat kejadian itu dan masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Ibu saudaranya, Noor Azliya Mohd Noor, 39, berkata, tiada apa-apa yang diceritakan Aishah Rafeeqa Ammanda atau lebih mesra dengan panggilan Sharifah setakat ini berhubung kehilangannya hampir 24 jam.

Jelas wanita itu, sebaliknya, kanak-kanak itu dilihat trauma selain mahu berehat memandangkan kehilangnya agak lama tanpa sebarang makanan dan minuman.

“Buat masa ini, saya tak boleh nak komen apa kerana kami sendiri tidak diberitahu ke mana dia (mangsa) pergi dalam tempoh yang lama itu.

“Cuma dia kelihatan takut dan trauma, jadi kami pun tak nak paksa tanya ke mana dia pergi. Biarlah dia sihat dahulu itu yang penting buat kami sekeluarga.

“Tambahan pula, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Misteri budak 5 tahun hilang hampir 24 jam terungkai

MalaysiaGazette semalam melaporkan, kehilangan seorang kanak-kanak perempuan hampir 24 jam terungkai selepas dia ditemui dalam keadaan selamat di tepi jalan Permatang Keriang di sini.

Mangsa berusia lima tahun itu ditemui orang awam jam 6 petang tadi kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi rumahnya dalam keadaan tidak bermaya.

Mangsa diberikan air sejurus ditemui dalam keadaan tidak bermaya.

Sementara itu, menceritakan keadaan sebelum kejadian mangsa hilang, Noor Azliya berkata, sudah menjadi rutin Sharifah keluarga bermain setiap hari namun hanya dalam tempoh singkat.

Katanya, namun tiada kelibat mangsa hingga ke petang membuatkan nenek yang menjaganya risau sebelum mengarahkan abang mangsa berusia lapan tahun serta pak ciknya melakukan pencarian.

“Nenek saya jaga Sharifah serta abang dan kakaknya susulan ibu bapa mereka sedang menjalani hukuman dalam penjara.

“Jadi pada hari kejadian itu, Sharifah beritahu nak keluar bermain dengan kawannya dan dia pulang sebentar untuk memberikan laksam yang dikirimkan orang kampung kepada moyangnya (nenek saya).

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang hilang sejak semalam ditemui orang awam di bangsal di tepi jalan Permatang Kriang, Penaga, Pulau Pinang.

“Saya diberitahu kali terakhir anak kakak saya nampak mangsa kira-kira jam 4.30 petang ketika itu dia menuju jalan pulang ke rumah. Memandangkan dia tidak pulang sampai ke malam kami buat laporkan polis,” katanya.

Jelas Noor Azliya, pencarian dilakukan dengan bantuan penduduk kampung serta kariah Masjid Kuala Muda sebelum kedatangan pihak polis.

“Susulan laporan dibuat, pencarian dilakukan dengan bantuan pihak polis serta pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Muda namun tiada sebarang petunjuk positif sehinggalah dia ditemui orang awam dalam keadaan sangat tidak bermaya kira-kira 2.5 kilometer dari jarak rumah.

“Saya dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian Sharifah,” katanya. – MalaysiaGazette