KUALA LUMPUR – Korea Selatan terus menjadi penghalang Malaysia untuk meraih kejuaraan, kali ini dalam acara beregu lelaki selepas wakil negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas dalam aksi final Masters Malaysia 2023 hari ini.

Terdahulu, beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah juga dikecewakan pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-18, 17-21.

Meskipun mendapat sokongan padu daripada penyokong yang membanjiri Axiata Arena, Wei Chong-Kai Wun tumbang dalam set pertama kepada Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21.

Bangkit di set kedua, pasangan negara bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk memenangi perlawanan dengan 22-20 sekali gus mengheret kepada aksi set penentuan.

Selepas mendahului tipis 11-10, pertarungan menjadi semakin sengit apabila terikat 18-18 sebelum pukulan Wei Chong mendarat sasar daripada garisan yang memberikan mata kemenangan 21-19 sekali gus terlepas gelaran juara kepada wakil Korea Selatan.

Sementara itu, Wei Chong berkata, mereka tidak dapat menyerap tekanan selepas mendahului 11-10 pada set ketiga yang membolehkan lawan perlahan-lahan membina keyakinan sekali gus menang dalam pertarungan.

“Rasa sayang juga (tidak menang gelaran juara), kami pernah mendahului namun memang sedih. Saya rasa kami perlu lakukan lebih banyak senaman dan sesi gimnasium (untuk tingkatkan tahap kecerdasan) dan elakkan mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Meskipun terlepas gelaran juara, Wei Chong tetap gembira dengan kemajuan yang dicapai pada Masters Malaysia 2023 selepas dibelenggu kecederaan dan prestasi suram sebelum ini.

Mengenai peluang layak ke Sukan Olimpik 2024, Wai Kun berkata, mereka akan terus memberikan tumpuan langkah demi langkah memandangkan proses kelayakan ke Paris baru saja bermula awal bulan ini hingga April tahun depan.

Kai Wun turut berharap mereka dapat mengekalkan standard mereka pada kejohanan akan datang terutama selepas berjaya menundukkan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 23-21, 21-17 dalam aksi suku akhir, Jumaat lepas.

Kali terakhir Malaysia meraih gelaran juara beregu lelaki Masters Malaysia adalah pada edisi 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah yang menewaskan rakan senegara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 22-20, 21-15 dalam aksi final. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast