Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias

KUALA LUMPUR – Polis memohon lanjutan reman selama lima hari ke atas suspek disyaki yang  membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil, sebelum membakar mayat mangsa di kebun kelapa sawit Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, permohonan lanjutan reman ke atas lelaki berusia 20 tahun itu akan dibuat hari ini.

Beliau berkata, perintah reman suspek selama enam hari sebelum ini, berakhir hari ini.

“Kita akan membawa lelaki itu ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor (bagi memohon reman dilanjutkan),” katanya menerusi kenyataan.

Suspek sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes wanita hamil empat bulan dipercayai kekasihnya, yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan belukar di kebun kelapa sawit Jalan Sungai Limau, 23 Mei lalu.

Kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit dengan mangsa berusia 21 tahun.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette