Muhammad Sanusi.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan dakwaan bahawa Perikatan Nasional menerima dana kempen pilihan raya daripada syarikat judi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertegas, dari sudut undang-undang Awar sebagai pihak yang menuduh perlu membuktikan dakwaan yang dibuat.

“Kes dana dari syarikat judi: Bukan saya mencabar, saya kata dari sudut perundangan, beban bukti terletak kepada pihak yang menuduh.

“Jadi sila kemukakan bukti jika sesuatu tuduhan dibuat,” katanya ringkas di media sosial.

Media semalam melaporkan Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti bawan PN menerima dana judi.

Tambah beliau, dakwaan kononnya PN menerima dana judi bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap gabungan itu.

Muhammad Sanusi, berkata dakwaan Anwar berhubung isu itu juga bermotifkan politik semata-mata.

“Ia (isu dana judi) dari awal hanya isu politik sahaja untuk timbulkan persepsi. Persepsi ini ada yang betul, ada yang tak betul.

“Pas ini, duit ahli kita dok (ada) dalam poket, mai (datang) derma… mai derma. Kita haramkan judi di negeri ini, takkan tauke judi nak bagi derma kat kita. Nak buat aktiviti (judi) tak boleh, pergi tanya di negeri yang menghalalkan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Sanusi meminta Anwar supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu dengan segera.

“Perdana Menteri pun tak boleh siasat sendiri, hanya agensi (SPRM) boleh buka fail. Fail dari agensi bukan dari dia.

“Asas kepada semua dakwaan itu, Sila kemukakan bukti. Sebab dia yang tuduh, jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak pada yang tuduh. Sila buktikan,” katanya.

Perdana Menteri sebelum itu dilaporkan berkata, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan jika tiada asas.

Beliau meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca dengan lengkap kenyataannya berhubung dana judi yang didakwa melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Pada Khamis, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Begitupun, pada Jumaat, Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihenti atau digugurkan.- MalaysiaGazette

Saya tidak akan buat dakwaan kalau tiada asas