Izzah peruntukan PH BN
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus perlu bercakap benar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai punca sebenar nilai ringgit yang semakin jatuh.

Ahli Parlimen Pasi Gudang Hassan Abdul Karim berkata, BNM tidak boleh menepis dan mencuci tangan dengan memberi alasan kejatuhan nilai ringgit disebabkan oleh banyak faktor luar kawalan.

“Bank Negara pun tidak boleh berhujah bahawa semua mata wang asing juga jatuh macam ringgit.

“Nasib baik Bank Negara tak macam itu. Ketika nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika kenapa nilai dolar Singapura dan rupiah Indonesia naik melonjak?

“Jadi Gabenor Bank Negara kena cakap jujur kepada menteri kewangan dan perdana menteri hal sebenarnya yang menjadi punca kejatuhan ringgit sekarang ini,” katanya dalam artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan yang ada kerana nilai ringgit juga jatuh semasa kerajaan ditadbir oleh parti politik lain.

Namun persoalannya menurut beliau, nilai ringgit semakin melemah walaupun selepas enam bulan kerajaan baharu mentadbir dengan pelbgai dasar kewangan yang baik diperkenalkan.

“Malah nilai ringgit lebih rendah berbanding setahun lalu. Adakah wujud masalah struktur dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia?

“Kita tidaklah boleh bersorak gembira apabila dolar Singapura melonjak tinggi dan ringgit jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam ringgit,” kata Hassan.

Katanya, kejatuhan ringgit yang tidak terkawal mempunyai kesan buruk kepada ekonomi kerana negara banyak mengimport hutang dan barangan dari luar.

Justeru Gabenor BNM perlu memberi nasihat kepada perdana menteri dan Kabinet untuk menyelamatkan ekonomi dan kewangan nyang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.

“Bercakap benarlah walaupun pahit. Adakah faktor-faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan yang menjadi antara punca kejatuhan nilai ringgit?

“Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka.

“Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu perdana menteri supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan,” tegas beliau.

Hassan juga berharap, agensi kerajaan tidak mengeluarkan kenyataan ‘gula-gula’ yang mengambarkan kononnya ekonomi dan kewangan negara dalam landasan yang betul dan berkembang serta nilai ringgit jatuh sementara dan terkawal.

Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti itu kerana mereka cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan.-MalaysiaGazette