PUTRAJAYA – Kira-kira 88 peratus kes gangguan seksual yang dilaporkan melibatkan kaum wanita, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bakinya seramai 12 peratus melibatkan lelaki yang kurang tampil ke depan membuat laporan kes gangguan itu.
Beliau berpendapat, malu dan ego mungkin menjadi faktor golongan lelaki enggan membuat aduan walaupun menjadi mangsa gangguan seksual.
“Gangguan seksual boleh berlaku kepada semua golongan lapisan masyarakat. Sehubungan itu, salah satu usaha kerajaan adalah menerusi penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 sebagai platform alternatif di samping memperkukuhkan lagi perundangan sedia ada dalam menangani isu gangguan seksual.
“Akta ini telah digubal sebagai satu manifestasi penting kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu pelanggaran kepada hak asasi manusia.
“Penggubalan akta ini menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin dan serius dalam menangani isu gangguan seksual bagi memartabatkan peradaban dan ketamadunan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Majlis Pelancaran Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang perlakuan gangguan seksual dan kesan-kesannya terhadap mangsa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual.
Jelas beliau, ia merangkumi dua pelan tindakan iaitu program advokasi bagi pencegahan gangguan seksual dan program advokasi bagi kesedaran gangguan seksual.
Beliau turut menyeru semua pihak sama ada agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan dan semua pihak yang terlibat supaya memberikan kerjasama penuh untuk memastikan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kerjasama semua pihak penting bagi menyokong dan mengguna pakai notis gangguan seksual yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk dipamerkan di premis masing-masing sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dan Akta Kerja 1955,” katanya. – MalaysiaGazette