Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Menu RAHMAH KFC dan Pizza Hut selepas pelancarannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu risau dengan harga dan bekalan gula dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bekalan mencukupi dan tiada kenaikan harga dilaporkan berlaku.

“Setelah empat hari KPDN mengumumkan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk menghasilkan gula bertapis halus jernih itu, tiada sebarang aduan tentang kekurangan gula.

“Sekurang-kurangnya 42,000 metrik tan gula bertapis kasar dan halus mesti berada di pasaran secara bulanan,” katanya di sini hari ini.

Salahuddin berkata, kerajaan juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan ketiadaan bekalan gula selepas membenarkan permohonan MSM dan CSR untuk menjual gula bertapis jernih.

“Harga gula bertapis kasar tetap pada harga RM2.85 manakala harga gula bertapis halus tetap pada harga RM2.95. Tidak berlaku sebarang kenaikan harga dan bekalan tetap ada di pasaran,” tegasnya.

Tambah Salahuddin, KPDN juga melanjutkan operasi bersepadu Ops MANIS selama sebulan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju dengan permohonan syarikat pengeluar gula negara, MSM dan CSR untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang harganya ditentukan oleh pasaran.

Kebenaran untuk penjualan gula putih bertapis jernih akan bermula pada 25 Mei 2023.

Media baru-baru ini melaporkan kegusaran dalam kalangan penduduk susulan sukar mendapat gula paket yang didakwa tiada di pasaran sejak 22 April lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast