Hantaran Asyraf Wajdi di Facebook.

BALIK PULAU – Seorang pelajar Tingkatan dua institusi pendidikan menengah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, dilaporkan cedera di bahagian muka akibat menjadi mangsa buli.

Bapa mangsa, Chandran Veluppillai ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan perkara tersebut sudah dilaporkan kepada pihak polis, selain dimaklumkan kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook.

Menceritakan kejadian itu, Chandran mendakwa, mereka sekeluarga yang menetap di Kajang, Selangor terpaksa bergegas ke Pulau Pinang sejurus menerima panggilan berhubung kejadian yang menimpa anaknya pada 25 Mei lalu.

Dakwa lelaki terbabit, dalam kejadian jam 11.40 malam itu, anaknya berusia 14 tahun dibuli sebelum ditolak ketika berada di tangga salah satu blok bangunan sekolah berkenaan.

“Akibat kejadian itu anak saya mengalami kecederaan parah pada bahagian muka.

“Selain itu, saya juga telah membuat laporan polis susulan doktor yang merawatnya mendakwa ia merupakan kecederaan bukan disebabkan kemalangan,” katanya.

Tambah Chandran, pihaknya juga difahamkan ada rakaman kamera televisyen tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tindakan pelaku.

“Kita juga ingin tahu prosedur operasi standard (SOP) institusi berkenaan termasuk keadilan buat anak saya,” jelasnya.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklum balas berhubung kejadian tersebut daripada pihak berkaitan.

“Saya akan minta laporan segera daripada pihak MRSM. Kalau benar kes buli, tiada kompromi dan boleh dibuang sekolah,” tulisnya.

MalaysiaGazette juga kini dalam usaha mendapatkan perkembangan siasatan tersebut daripada pihak polis. – MalaysiaGazette