Siti Suryati dan anak-anaknya melepaskan rindu menatap wajah arwah suaminya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka, hari ini.

MELAKA – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah peribahasa tepat menggambarkan pengorbanan seorang suri rumah yang terpaksa membesarkan lapan anak yang masih kecil tanpa sebarang sumber pendapatan selepas kehilangan suami Jumaat lalu.

Siti Suryati Sani, 41, kehilangan suaminya, Khirul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud, 41, yang meninggal dunia selepas dua minggu dirawat Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Melaka.

Tugas menanggung lapan anak berusia antara 10 bulan hingga 15 tahun kini beralih kepada wanita cekal ini walaupun sudah kehabisan wang simpanan termasuk barang kemas untuk menampung kos hidup sejak lima bulan lalu.

Siti Suryati Sani

“Arwah suami sebelum ini tiada masalah jantung dan hanya mengetahuinya pada awal Januari lalu selepas mendapat tawaran sekali tugas sebagai pegawai paramedik offshore di Pahang.

“Suami tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung pada permintaan kerja, kalau tiada tawaran tiadalah gaji,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewanya di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini hari ini.

Tambahnya kehidupannya sembilan beranak berubah sekelip mata apabila Khirul Azlizam diserang angin ahmar Januari lalu menyebabkannya tidak dapat bekerja kerana tiga saluran jantungnya turut tersumbat.

“Pada 11 Mei lalu, suami tiba-tiba mengadu dadanya sakit sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka dan dimasukkan ke CCU selama dua minggu.

“Sebelum itu, suami sempat berpesan, dia hendak ‘balik’ dan berharap saya reda jika kehilangannya yang sudah tidak tahan menanggung sakit,” katanya sambil menangis hiba.

Mohd. Arif (kiri) meluangkan masa menziarahi Siti Suryati dan lapan anaknya di rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka.

Siti Suryati Sani berkata, walaupun sedih, dia reda dengan kehilangan insan tersayang itu dan percaya dengan aturan Allah untuk memberikan sesuatu yang lebih indah untuknya sembilan beranak.

“Saya perlu mengumpul kekuatan sebanyak mungkin untuk membesarkan anak-anak termasuk lima yang masih bersekolah walaupun semua wang simpanan sudah licin malah barang kemas juga habis digadai.

“Mujurlah ada adik beradik yang sudi membantu tetapi saya harus mencari sumber pendapatan sendiri,” katanya yang sudah membuat permohonan dengan agensi berkaitan untuk meringankan beban ditanggung.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd. Arif Yusa yang turut meluangkan masa menziarahi keluarga itu berkata, pihaknya akan berusaha untuk memudahkan permohonan keluarga itu mengikut kelayakan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank Siti Suryati Sani di nombor 104068086569. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast