KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti bagi tujuan siasatan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa pemohon telah melepasi keperluan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan terdapat isu yang boleh dibicarakan berhubung perintah pembekuan yang dipertikaikan dan larangan perjalanan.
“Isu-isu yang boleh dibicarakan ini mewajarkan hujahan lanjut oleh pihak-pihak di peringkat substantif dan tidak boleh dihapuskan oleh mahkamah pada peringkat ini,” katanya.
Hakim juga berkata permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman adalah tidak remeh dan menyusahkan.
“Saya berpandangan bahawa permohonan itu boleh diterima oleh semakan kehakiman dan sewajarnya kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman adalah dengan ini dibenarkan,” kata Hakim Ahmad Kamal.
Bagaimanapun, Hakim Ahmad Kamal tidak membenarkan permohonan perintah interim parti untuk pelepasan dana daripada akaun Bersatu kerana ia akan mengganggu siasatan SPRM.
“Pada peringkat ini, membenarkan perintah interim atau pelepasan interim itu sama seperti campur tangan dalam kuasa SPRM melaksanakan kuasanya untuk pengubahan perintah.
“Justeru, saya berpendapat bahawa pengeluaran wang, yang atau mungkin berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram tidak boleh dibenarkan,” katanya.
Hakim seterusnya berkata pengeluaran wang jika dibenarkan, akan mengurangkan aset yang dibekukan (wang dalam akaun) kerana tujuan perintah pembekuan adalah untuk memelihara aset yang disyaki melakukan aktiviti jenayah.
“Membenarkan pengeluaran wang itu akan menggagalkan tujuan perintah pembekuan yang masih belum ditentukan dalam perbicaraan jenayah,” katanya.
— BERNAMA