Muhamad Radzi menunjukkan barang rampasan dalam operasi yang dijalankan oleh KPDN Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menemui tiga kepala lori penggerak utama (prime mover) yang digunakan bagi menyeleweng diesel bersubsidi  dalam operasi di sini semalam.

Ketua Penguat Kuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, modus operandi sindiket haram menggunakan kepala lori itu bagi menggantikan taktik lama mengubah suai lori bagi menyeludup diesel.

Perbuatan itu terbongkar selepas KPDN menyerbu sebuah gudang yang dijadikan tempat mengumpul minyak diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 di sini pukul 11 pagi semalam.

Ketika serbuan, aktiviti penyeludupan berlaku di mana individu terlibat sedang memindahkan minyak dari tangki lori ke sebuah tangki simpanan.

“KPDN menahan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an termasuk seorang warga asing yang mana dua lelaki tempatan itu adalah pemandu lori manakala warga asing terbabit adalah penjaga gudang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kesemua lori minyak diesel dan peralatan yang digunakan telah disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM454,400 manakala kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Sindiket ini berlindung di sebalik gudang cat yang ditinggalkan dan kemungkinan menyewa gudang berkenaan selepas syarikat cat berkenaan tidak lagi beroperasi,” katanya lagi.

Sepanjang Ops Tiris yang dijalankan bermula Mac lalu, KPDN Pahang telah memeriksa 571 premis dan sebanyak enam daripadanya telah diambil tindakan dengan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM792,944.

Kesalahan boleh diambil tindakan mengikut AKB 1961 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM300,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – MalaysiaGazette